Sekadar notis, namun harus diambil perhatian dengan kadar yang segera. Insan yang anda kenali dengan nama pentas Loque dari kugiran tersohor Butterfingers (atau kini lebih relevannya dengan MonoLoque), kini sedang bersiap sedia dengan misi invasi muzikal terbaru beliau.
Kepada yang masih belum mendapat gambaran akan direksi muzik beliau, tanpa selindungnya MonoLoque bukanlah lampiran karya yang dimainkan atas paksi muzik yang padat dengan bunyian hasil kebisingan distorsi gitar, hentakan dram mahupun paduan bass seperti yang terdapat pada karya-karya band beliau yang punya reputasi elit tersendiri, Butterfingers.
Pastinya memori yang wujud, berkisar tentang empat pemuda (kadangkala berlima, juga berenam – bergantung kepada kapasiti pentas.. mungkin?) yang beraksi di gelanggang muzik bebas, juga arus perdana, berkarya tanpa sempadan lebih sedekad lamanya.. baik, cukup setakat itu.
Boleh dikatakan, MonoLoque adalah sesuatu yang tidaklah dikira baru, namun berlainan dari apa yang wujud pada garis masa sebelumnya.
Idea kasarnya mudah, namun pengisiannya cukup kompleks: diadun dengan jalinan idea yang datangnya tidak berpangkal, muzik MonoLoque bukanlah sesuatu yang dipandang sebagai sesuatu yang cliché dan predictable bagi sesetengah orang. Mengaplikasikan apa jua bunyi untuk diadun semula menjadi sebuah karya – yang kadang kalanya didengari oleh kita setiap hari. Bunyian.. seperti bunyi kapal terbang, bunyi angin yang menderu, bunyi titisan air di tandas awam, bunyi generator elektrik di pasar malam, bunyi loceng sekolah.. ya, apa sahaja yang boleh diketegorikan sebagai bunyi.
Muzik seharusnya dipandang lebih dari sesuatu yang disifatkan universal; setidak-tidaknya diskrit, tidak berbentuk, juga halus. Ia kadangkala datang tak diduga, pergi tak disedari. Mungkin atas dasar detik itu jugalah MonoLoque mula bernafas, cuba untuk mencipta (atau merubah?) sesuatu yang segar, mungkin sedikit mencabar jiwa.
Sememangnya MonoLoque juga wujud atas rasa egois dan rebel, mahu membuka suatu lembaran baru terhadap senario muzik Malaysia khususnya. Dengan terzahirnya rasa tersebut, wujud sebuah laman yang diberi nama “127 Anak Tangga Ke Pintu Syurga” (yang boleh diakses melalui alamat http://www.monoloque.com), bukan sahaja merupakan portal memperkenalkan MonoLoque ke telinga umum, bahkan sebuah laman di mana para peminat (yang mahir/separa mahir menggubah muzik digital) diberi peluang untuk mengadun semula karya-karya MonoLoque mengikut kekretifan mereka tersendiri – suatu bentuk interaksi yang pastinya belum pernah (atau sangat jarang) dilakukan.
Kepada yang berminat untuk menyertai, anda hanya perlu mendaftarkan diri mereka, hanya dengan berbekalkan alamat E-mail juga kata laluan – tidak perlu mengisi butiran seperti yang anda lakukan untuk laman peminat/fansite yang lain. Dari situ, anda boleh memulakan kembara anda, meneroka limitasi kekretifan dunia muzik digital anda.
Kini MonoLoque sedan dalam proses tungkus lumus untuk menyiapkan segala apa yang perlu, untuk menyerang hendap senario muzik Malaysia.
Sudahkah anda bersedia?
1 comment:
er, ganasnya hg moe. bahasa pujangga. haha. tabik tabik
Post a Comment